Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Dukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din mengalami serangan sakit jantung sejak hari Sabtu, 30-Julai-2011. Beliau sekarang sedang mendapat rawatan di Institute Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Justeru itu, bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, bulan dimana doa sangat mustajab, marilah kita sama-sama lakukan solat hajat dan berdoa mudah-mudahan Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Tuan Guru Dato Dr. Haron Din.
Berikut adalah maklumat terkini yang diterima daripada anak sulung dan menantu Tuan Guru (Dr. Huda & Dr. Azlin).
Khamis, 4-Ogos-2011
Syukur Alhamdulillah, pada hari ini keadaan Tuan Guru telah beransur pulih. Tuan Guru telah discaj dari IJN pada pagi ini jam 11:30 pagi. Beliau akan berehat beberapa hari.
Rabu, 3-Ogos-2011
Dalam sebulan dua ini kami perasan Tuan Guru kerap menggunakan kembali GTN spray selepas aktiviti yang agak membebankan cuma beliau tidak pernah merungut malah tidak pernah mengadu pada kami ataupun kepada sesiapapun, cuma dalam 2-3 minggu terakhir ini kadangkala terpaksa berhenti sejenak jika jadual yang diaturkan terlalu padat dan mendesak.
Selepas rawatan jantung di Stanford Hospital, genap setahun yang lalu, Tuan Guru tidak memerlukan GTN spray walaupun ketika mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu setiap aktiviti yang telah dirancang diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.
Hujung minggu setiap bulan, Tuan Guru terikat dengan kuliah serta kelas-kelas pengubatan di tiga negeri dengan jarak untuk rehat antara program yang sempit, maka ketika kelas pengubatan di Alor Setar (30 Julai 2011) Tuan Guru mula mendapat serangan-serangan yang agak kuat dan pada malamnya serangan jantung yang kuat, tidak dapat diredakan dengan GTN spray, sehinggakan habis sebotol. Dada seperti dihimpit batu, sesak nafas serta bahu kiri hingga hujung tangan kebas sepenuhnya.
Kami yang telah pulang lebih awal dari Perlis ke Bangi melalui jalan darat mendapat berita dari Perlis. Kami berusaha mengaturkan agar Tuan Guru dapat pulang dengan segera untuk rawatan di IJN, malangnya tiket penerbangan telah habis ditempah pada pagi Ahad (31-Julai-2011). Pertolongan Allah datang melalui seorang hamba Allah yang sudi memberikan tempat duduk penerbangan yang telah ditempahnya kepada Tuan Guru.
Tuan Guru dikejarkan ke Unit Kecemasan IJN. Melalui pemeriksaan dan ECG, Tuan Guru didapati mengalami serangan 'unstable angina' dan perlu dipantau berkala di CCU berserta rawatan. Sehingga ini dua kali ujian angiogram telah dijalankan (Isnin dan Selasa) dan diikuti juga ujian MRI, tetapi keputusan masih belum muktamad.
Berkat doa semua, Alhamdulillah Tuan Guru semakin pulih.
Keadaan semakin baik dengan parameter yang semakin stabil, seperti laporan Adinda Salwa, Tuan Guru sudah mula berjalan selepas tempoh edah Angiogram. Mula berselera untuk makan. Kini telah dipindahkan ke wad biasa.
Kami masih menuggu keputusan muktamad Dato'Amin dan Dato' Rob untuk perancangan seterusnya setelah keputusan MRI dibahaskan.
Jutaan Terima Kasih pada yang sudi menitipkan doa, hanya Allah yang layak membalasnya.
Doa Untuk Tuan Guru
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam, puji-pujian ke atas anugerah nikmat-nikmat-Nya dan Dialah yang menolak segala bala bencana dan kami bermohon dengan anugerah kelebihan-Nya. Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala kepujian sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zat-Mu dan kemuliaan serta keagungan kekuasaan-Mu.
Wahai Allah! Rahmatilah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah, anugerahkanlah ke atas Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, penawar daripada penawar-Mu, kesembuhan daripada kesembuhan-Mu dan keberkatan daripada keberkatan-Mu, juga rahmat daripada rahmat-Mu terhadap penyakit-penyakit yang dialami olehnya, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia dengan rahmat-Mu, Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.
Kami bermohon kepada Allah yang maha agung , Tuhan yang memiliki Arasy yang agung agar Allah menyembuhkan Tuan Guru kami.
Ya Allah sesungguhnya Engkau mengetahui yang zahir dan yang rahsia daripada kami maka ampunilah kami, dan Engkau mengetahui hajat-hajat kami maka tunaikanlah hajat-hajat kami , ya Karim Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.
Amin.
Salam Ukhwah,
0 comments:
Post a Comment