RSS Feeds

Artikel Sepanjang Minggu Ini

21 May, 2015

Home » , » ROHINGYA – ANTARA KEJAHATAN MANUSIA DAN KESESATAN AGAMA

ROHINGYA – ANTARA KEJAHATAN MANUSIA DAN KESESATAN AGAMA


Tersentuh hati atas nama kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam apabila bot yang sarat dengan muatan manusia terutama kanak-kanak dan wanita dari Rohingya tidak dibenarkan mendarat. Sejak 20 tahun dahulu begitu ramai pelarian ini yang ‘ghaib’ di lautan apabila tiada negara yang mahu menerima mereka.

Kami telusuri semua artikel dari pelbagai sumber, termasuk video dari portal berita antarabangsa untuk membuat sedikit rumusan. Perhatikan klips dalam video ini; termasuk ulasan para sami, beberapa wartawan antarabangsa, juga luahan penduduk budha dan warga Rohingya sendiri.

Ada yang kata mereka ini bangsa pengecut kerana lari meninggalkan tanah air sendiri. Jika diberi perlindungan dan mendapat Identiti UNHCR pula, mereka akan naik lemak dan tidak menghormati kita selaku tuan rumah. Bagaimanalah mereka harus melawan penghapusan etnik yang disokong kerajaan bekas dikatator itu dengan jumlah yang kurang dari 10% dan tanpa sokongan moral, dana dan senjata?

Sebenarnya ada beberapa keluarga Rohingya yang berhubungan sangat rapat dengan kami selama beberapa tahun sebelum ini. Mereka adalah kumpulan yang awal-awal berjaya melarikan diri dari kekejaman kerajaan mereka. Di RPWP, kami jadikan mereka sebagai asnaf yang memerlukan perlindungan.

Salim, salah seorang yang rapat dengan kami telah 18 tahun berada di Malaysia. Dalam setiap perbualan, beliau sering menceritakan suasana yang berlaku di negara asalnya. Kini, beliau dan sekian banyak keluarga Rohingya telah dipindahkan ke Amerika. Yang lainnya dipindahkan ke Australia dan beberapa negara lain.

Kekerabatan dengan mereka itu telah memberi kami banyak gambaran tentang budaya bangsa ini. Tidak dinafikan memang benar jika dikatakan mereka itu ada yang pengotor, pemalas, besar kepala dan sebagainya. apa tidaknya, standard hidup mereka 50 tahun di belakang kita. Namun, Salim rakan Rohingya kami itu pula amat kuat bekerja dan pandai berniaga.

Orang berbudi kita berbahasa. Apabila kita buat baik pada mereka, mereka juga kami dapati sangat hormat dan baik dengan kami. Sampai saat berangkat ke Amerika, beliau tidak habis-habis menyatakan amat keberatan meninggalkan Malaysia. 18 tahun beliau bekerja keras untuk mengumpul wang bagi membawa ayah ibu dan keluarga besarnya ke Malaysia sebelum berangkat ke negara ketiga.

Sampai hari ini beliau masih berhubungan dengan kami untuk memberikan perkembangan terkini. Yang penting apa yang beliau jangkakan dahulu telah benar-benar berlaku, iaitu tentang nasib pendidikan anak beliau. Itu sahaja sebab beliau terima tawaran UNHCR untuk dipindahkan ke negara ketiga, iaitu pendidikan anak-anak yang tidak disediakan di Malaysia. Malangnya apa yang berlaku di negara ketiga lebih merisaukan hatinya.

NASIB PELARIAN ROHINGYA

Dapat kita lihat dari video ini mereka menggunakan sampan kayu yang bocor dan setengahnya berkayuh dengan tangan meredah lautan. Dalam satu video kami terkedu apabila mereka yang berada dalam sampan kecil melihat bot besar yang berlayar bersama mereka ditembak oleh sebuah helikopter lalu karam tanpa berita.

Bangladesh yang dikatakan berkait repat dengan asal usul mereka adalah sebuah negara yang miskin. Kerana itu mereka tidak mampu menerima pelarian ini kerana sudah terlalu ramai. Kem pelarian yang disediakan juga kebanyakannya tidak didaftarkan.

Apa yang dinyatakan dalam video ini juga munasabah. Kelima-lima sampan bocor yang dihalau semula ke laut itu tidak dapat dikesan apa beritanya. Ungkapan yang mengatakan “Pulanglah ke laut… Allah akan selamatkan kamu” yang diungkap oleh pengawal pantai itu agak mengguris hati. Ia seolah-olah sengaja menghalau mereka 'untuk mati'.

Kematian semasa perlayaran sudah terlalu banyak. Kelaparan dan kehausan mereka amat dahsyat. Ada yang melapurkan sampai ke tahap meminum semula ‘air kencing’ mereka untuk terus hidup.

Berita tentang penemuan KUBUR RAHSIA yang tertanam mayat-mayat Rohingya seperti yang dilapur baru-baru ini bukan perkara baharu. Berapa banyak aduan oleh pelarian tentang kekejaman pihak berkuasa Thai yang telah menahan, menyiksa dan membunuh mereka. Video ini sendiri menampakkan bahawa dunia sudah tahu apa yang berlaku, cuma mereka tidak berminat untuk membantu.

Bagi kami, tidak kira atas dasar apa sekalipun, atas dasar kemanusiaan, kami fikir mereka wajar dibantu sekalipun ada banyak kelemahan dan kekurangan pada mereka.

Bertahun-tahun kami melihat gambar yang ditunjukkan oleh warga Rohingya tentang kekejaman yang dilakukan terhadap kaum keluarga mereka tanpa dapat berbuat apa-apa. NGO antarabangsa tidak dialu-alukan di sana. Warga yang berjaya melarikan diri tidak berani pulang semula untuk menyelamatkan keluarga mereka kerana takut dibunuh.

Jika kita sukar atau tidak berpeluang membantu mereka di sana sebagai manusia dan saudara seagama, kini mereka telah pun berjaya melarikan diri. Alangkah ruginya jika kita tidak ambil peluang untuk menghulurkan bakti.

TAWARAN RPWP

Bagi sesiapa yang mempunyai jalan, atau laluan yang legal bagaimana mereka ini boleh kami lindungi, insyaAllah kami di RPWP sudi untuk bersaudara dengan mereka. Tidak sampai hati melihat kesengsaraan mereka selama ini, khasnya golongan kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Mereka ini hanya orang yang berusaha melarikan diri dari kekejaman kerajaan yang menindas untuk mencari ruang hidup yang lebih aman. Hijrah mereka adalah perintah Allah apabila tiada keupayaan lagi untuk melawan lalu mereka terus terusan ditindas.

Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, malaikat bertanya : "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?." Mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri ini." Para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?." Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali, (QS: 4. An Nisaa' 97 (terus baca sampai ayat 100).

KESIMPULAN

Sebagai sebuah negara Islam yang mendaulatkan agama Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka atas dasar aqidah yang sama.

Suatu ketika dahulu, Tun Mahathir pernah melaksanakan misi menyelamatkan warga Islam dari bumi Bosnia yang dizalimi dan memerlukan perlindungan. Mungkin kerajaan boleh mengkaji dan merangka sesuatu yang lebih kurang serupa dengan misi itu. Ingatlah, pelarian Vietnam lagikan pernah kita tolong, inikan pula Rohingya, saudara seagama dengan kita.



Di kala negara lain, ada yang menerima dan ada yang menolak. Kita bimbang nasib mereka kembali menjadi mangsa kerakusan manusia yang mahu menjadikan mereka ini sebagai hamba semata-mata. Maklumbalas dari keluarga mereka yang sudah berpindah ke negara ketiga sebenarnya ‘kurang menyenangkan’ hati kami.

Pedih sampai ke hulu hati apabila seorang imam mereka mengatakan “Jangan kirim kami balik ke Myanmar kerana mereka akan bunuh kami. Jika perlu, bunuhlah kami. Kami lebih rela dibunuh oleh tangan saudara Islam kami berbanding mati di tangan kuffar”. Apapun, kita berterima kasih kepada Acheh kerana mengizinkan mereka mendarat untuk bernafas.

Sebenarnya Allah sedang menguji kita yang kononnya kini sedang hidup aman sejahtera, kaya, berkuasa dan berupaya menolong mereka.

Memanglah setiap isu itu ada pro dan kontranya. Dalam hal kemanusiaan dan persaudaraan ini, mari kita cari jalan membantu mereka dahulu. Ketepikanlah dahulu isu kebanjiran warga asing dan sebagainya. Selepas itu baru kita fikirkan apa kaedah terbaik untuk membantu mereka pada jangka panjang. Bukan saling berdebat untuk menunjuk siapa yang lebih handal berhujah lalu membiarkan mereka mati ditelan ombak dan dimamah panas matahari.

InsyaAllah jika kita tolong Allah dengan menghulurkan bantuan kepada hamba Nya, nanti Allah akan tolong kita dan anak cucu kita bila sampai masanya. Sesungguhnya ajal, maut, jodoh dan rezeki ini urusan Allah yang bijaksana dalam mengatur keperluan umatNya. Kita pun hanya menumpang di bumi bertuah ini untuk seketika sahaja.

Hakikatnya inilah UJIAN sebenar kepada umat Islam seluruh dunia. Adakah hanya mahu melihat sahaja tetapi memekakkan telinga, menutup terus pintu hati sebagai manusia, atau masih berbaki sisa-sisa iman yang mahu melihat Islam itu adalah agama kasih sayang, bukan agama yang mengajak kepada persengketaan.

Kami amat rimas dengan keganasan terutamanya berasbabkan konflik agama. Janganlah kita musuhi penganut Budha yang tidak ada kena mengena.

Perhatikan apa yang dinyatakan oleh beberapa Sami dalam video ini. Keganasan yang turut melibatkan golongan Sami itu bukan ajaran agama mereka. Ini termasuk kenyataan mengutuk Islam oleh beberapa sami yang menjadi BATU API.

Janganlah kita amalkan budaya memperbaiki sesuatu kerosakan dengan cara melakukan kerosakan juga. Peperangan adalah agenda dajjal untuk menghancurkan kesejahteraan manusia. Janganlah kita ikut tergoda. Ia tidak sekali-kali akan menyelesaikan masalah melainkan malah menambahnya.

WARGA PRIHATIN

Sumber: FB Warga Prihatin

1 comments:

john said...

Gdax transaction time out Wait! Are you out of time while doing Gdax transaction? Well, sometimes transaction take long time due to various technical issues. It’s better to reach the safest places in such error some time. You can dial Gdax Support Number to reduce your worry. The well-accomplished experts have all the admissible and easy to implement solutions to every Gdax technical issues. The experts fix the errors from the roots in minimal time. Visit https://www.cryptophonesupport.com/wallet/gdax/

Related Posts with Thumbnails